CORETAN PN. HARTINI HAMZAH - NOVELIS MELUNAS RINDU

Khamis, 18 Mac 2010



1. Terima kasih anak-anak kerana rajin mengkaji novel cikgu ini. Bahagia tak terkata bila melihat anak-anak sibuk bertanya itu ini mengenainya. Cuma harapnya anak-anak tulislah dengan bahasa dan ejaan yang betul, ya. Justeru bahasa itu adalah cerminan jiwa raga kita!

2. MR sebenarnya adalah sekual PIA. Tak mengapalah kalau tak berapa faham lagi, lama-lama nanti tentu akan faham. Masa adalah guru yang terbaik, dan kalau mahu sedikit lebih berusaha, boleh saja ramai-ramai mohon pada penerbit iaitu Utusan Publications untuk cetak semula PIA untuk dijual di pasaran terbuka. Cikgu tidak manis mencadangkan begitu, nanti disalah erti pula. Selamat mengulangkaji ya anak-anak.

3. Pesan cikgu sebelum tidur pagi ini. Tulislah seindah-indahnya dalam bahasa Melayu apabila kita sedang menulis dalam bahasa Melayu, dan tulislah secantik-cantiknya dalam bahasa Inggeris apabila kita sedang menyampaikan hasrat dalam bahasa Inggeris. Nanti senang-senang cikgu akan tulis dalam bahasa Inggeris pula ya. Insya Allah kita akan jadi pejuang bahasa, walau sekecil hama pun sumbangan kita.

4. Assalamualaikum anak-anak. Tak boleh tidur pula cikgu. Lagipun cuti-cuti sekolah begini cikgu memang banyak angan-angan, maklum lepas subuh nanti boleh lajak tidur lagi. Mahu tahu mengapa cikgu fasih benar dengan bandar Raub, Bentong dan kawasan-kawasan yang lingkungan 200 km radius darinya? ini kerana cikgu dulu bersekolah di Sek Men Tengku Abdullah Raub. Cikgu merupakan kumpulan pertama bersekolah di situ, iaitu dari tahun 1983 hingga 1987, ting 1 hingga 5. Inggeris panggil 'pioneer'. Nama sekolah pun masih Sek Men Sains Raub. Merasalah cikgu dengar askar Jepun (agaknya) berkawad walaupun kiri kanan belakang kebun getah saja. biasalah, dah bangunannya batu batan semua keras, apa nak buat.

5. Cikgu ini sentimental orangnya, cikgu sekeluarga pernah ke Raub, cadangnya mengimbau kenangan jalan bengkang-bengkok ke sana. Walaubagaimanapun, ya ampun rupanya jalannya sudah lurus, macam jarum, bagus betul wakil rakyatnya. Jadi cikgu pun tak minat lagi hendak ke sana, hilang nilai sentimental. Hala balik pun cikgu ikut jalan alternatif, sempat lalu jalan ke Lembah Klau dan Sg Ruan, ke Mempaga terus ke Temerloh.

6. Tiga tahun lepas cikgu sekeluarga pernah ke Johor Bahru, membawa jiwa yang sentimental ini, mencari jejak Mazni dan kekasihnya Zaki sang doktor lewat novel Badai Semalam garapan Khadijah Hashim. Mencari Bukit Puteri dan Pantai Lido, namun ya ampun yang terjumpa cuma Danga Bay. Ah, bosannya. Tidak berminat lagi.

7. Anak-anak ingin tahu kenapa Terengganu? Sebanyak-banyak negeri di bumi bertuah ini, cg memilih Terengganu sebagai sebahagian latarnya. Ini kerana cikgu dulu menuntut di UiTM Dungun. Stesen bas di Kuala Terengganu itulah tempat cikgu lepak dengan kawan-kawan sambil minum air kotak (kerana cuma itu yang mampu dibeli, duit cukup-cukup buat tambang bas Dungun - KT). Indah sungguh zaman menjadi budak nakal ini.

8. Setelah tamat pengajian di Dungun pernah empat kali cikgu sekeluarga bercuti di Terengganu, paling akhir Jun tahun lepas. Kenapa? Kerana jiwa sentimental cikgu inilah. dalam keempat-empat lawatan itu, semuanya cikgu ke UiTM Dungun, menjejak kenangan, namun segalanya hampa. Akhirnya mengertilah cikgu, bahawa zaman sudah berubah, masa tidak mungkin dapat diputar kembali. Moralnya hargai yang Tuhan beri kepada kita. Kita hanya dapat menoleh ke belakang, untuk sekadar melihat masa lalu kita, walau hati sarat rindu.

9. Tidak berminat lagikah cikgu ke Terengganu? Oh tidak. Terengganu sangat tebal nilainya di hati cikgu. Cikgu masih rindu untuk menyusuri Jambatan Sultan Mahmud sambil mengingati Fuad. Sekurang-kurangnya cikgu masih rindu air nira yang dijual di tepi-tepi jalan sepanjang perjalanan ke Terengganu, yang manisnya, tidak terjumpa lagi di negeri Pahang ini. Orang Terengganu senyum. senyum. Cuma harga air nira tersebut memang mengikut pasaran sungguh, mula-mula dulu RM1, kali kedua atau ketiga, RM2. Pailing akhir ke sana harga air nira sudah RM4 sebotol. Bagus.. bagus. Sudah seharusnya penjual air nira berjiwa korporat juga, mana tahu nanti sebaris dengan jutawan. Bill Gates pun sudah jatuh nombor dua, bila lagi mahu letak dia di tempat ketiga.

10. Berbaliklah kita kepada pangkal cerita ini. Nilai sentimental. Sebenarnya itulah nilainya yang memungkinkan Pia dan Melunas Rindu lahir, sarat unsur keharuan hingga mengulang baca sehingga kini pun, masih mehu menitis airmata cikgu. Itu saja untuk kali ini, nanti berkelapangan cikgu tulis lagi. Harap anak-anak tidak jemu. Sampai ketemu lagi.

0 ulasan: