CORETAN (2) HARTINI HAMZAH- NOVELIS MELUNAS RINDU

Jumaat, 19 Mac 2010



1. Assalamualaikum anak-anak. Jumpa lagi. Apa khabar? Harap semuanya sihat. Rajin-rajin tolong emak cuti sekolah ini ya. Kali ini mungkin cikgu(selepas ini disingkatkan menjadi cg - ringkasan - mohon izin) akan menulis panjang, maklumlah cuti sekolah. Nanti bila penggal persekolahan mula dibuka, seperti biasa cg akan terperangkap dalam kesibukan (keletihan juga, mungkin. Maklum saja, inilah kudrat seorang wanita bekerja era 40an). Barangkali tidak akan sebegini berkesempatan menulis di blog. Terima kasih sekali lagi kepada cikgu Razak. Cg tahu selepas ini beliau akan mengemaskini tulisan cg, jadi sebelum tu cg ucap terima kasih dulu.

2. Kali ini cg akan bercerita pengalaman cg menulis novel-novel cg, bermula Fatin Nabila, Tirai Jendela, Pia, Melunas Rindu hinggalah kepada Merentas Kabus. Cg akan cuba susun cerita cg sebaik-baiknya, walaupun cg ini orangnya banyak ilham dan suka bercerita melarat-larat. Bermula dengan Fatin Nabila, itulah novel pertama cg. Nipis saja, dan penuh dengan kelemahan. Walaubagaimanapun, ia menjadi kebanggaan cg kerana ia novel pertama dan menang Hadiah Saguhati. Menang tahun 1990, cg menulisnya setahun sebelumnya, bermakna ia lahir sewaktu usia cg 19 tahun. Masa itu cg berada di UiTM. Cara menulisnya? Ah, daif sekali. Cg menaipnya menggunakan mesin taip usang universiti, yang diletakkan di blok 8, blok kuliah paling hujung dan paling sunyi. Tiada blok lain, ia blok tunggal, jarang digunakan. Cg pergi bersendirian saja, pada masa-masa orang tidak sibuk menggunakannya - biasanya selepas Maghrib, dan pada kebanyakan waktu, hanya cg seorang berada di situ, kerana itulah yang sentiasa cg harapkan. Cg tidak boleh menulis jika dalam ramai. Mujurlah waktu itu perogol bersiri belum ada (dalam pembikinan, mungkin) dan cg alhamdulillah cg selamat sehinggalah tiba hari jodoh cg sampai). Siap saja, cg cuba-cuba hantar sayembara melalui bantuan seorang kawan. Alhamdulillah, menang. Tidak pijak bumi cg rasa waktu itu. Maklumlah masih berstatus pelajar. Tibalah hari penyampaian hadiah, di Kuala Lumpur. KL pun masa itu belum pernah jejak, lebih malang lagi tarikhnya serentak dengan peperiksaan akhir cg. Macam mana ya? Hati menggelodak mahu pergi. Ini kali pertama cg mendapat pengiktirafan dalam hidup. Alhamdulillah Tuhan mudahkan jalan, cg memohon dari pihak UiTM untuk mengambil peperiksaan di kampus Shah Alam pada hari tersebut. Sebaik selesai, cg bergegas ke KL, dapatlah menerima hadiah daripada Datul Seri Rafidah Aziz. Sukanya hati, tidak terkata-kata.

3. Oh ya, semester tersebut keputusan peperiksaan cg tetap bertahan 3 'point' lebih ya, tidak terganggu. Dapatlah wang tunai RM1000. Tidak dapat berbuat apa-apa pun dengan wang tersebut,habis buat belanja kawan-kawan saja. Selepas itu cg semakin bersemangat menulis, lahirlah cerpen 'Sesudah Mendung Berlalu'. Hantar lagi. Rezeki memihak lagi pada cg, memang Hadiah Utama pula kategori Cerpen Remaja. Dapat RM500, pun tidak dapat berbuat apa-apa dengan wang kemenangan itu.

4. Selepas itu cg terus menulis, kali ini novel yang paling sedikit diperkatakan orang, judulnya Tirai Jendela. Ia tidak dibukukan, cuma menjadi novel bersiri dalam majalah URTV sekitar tahun 1991 hingga 1992. Cg masih menuntut di UiTM waktu menulisnya, masih menggunakan mesin taip usang universiti di blok 8 sana.Masih belum mampu membeli mesin taip. Susahkah menulis guna mesin taip? Memang susah. Salah, kena padamkan guna 'liquid paper' paper. Kadang-kala 'liquid paper' habis, mahu tidak mahu terpaksa ganti RM30 setiap kali ia tersiar, dipanggil honorarium. Mewah juga, selalu dapat belanja kawan-kawan. Sehinggalah akhirnya cg mendapat royalti novel Fatin Nabila yang telah dibukukan, barulah cg mampu membeli mesin taip sendiri, warna biru. Harganya RM400. Itulah barang paling mahal cg dapat beli. Berakhirlah sudah zaman menaip di blok 8.

5. Bermula zaman menulis Pia. Jangan tidak tahu ya, Pia itu ditulis semasa cg di UiTM, dan panjang sungguh riwayatnya sebelum ia dibukukan. Cg menaip di dalam bilik, malam-malam, biasanya setelah siap segala tugasan kursus.Rasionalnya, tetntulah waktu untuk menulis hanya ada di tengah-tengah malam. Mesin taip, sifat semulajadinya, tidak seperti komputer, ia bising. Waktu itu cg selalu dengar rakan sebilik cg hempas buku kalaupun tidak hempas pintu. Cg ingat dia cuba hendak rosakkan buku atau pintu bilik,untung-untung dapat yang baru. Rupanya tidak cerdik juga cg ini. Dia marahkan cg rupanya, sebab tidak dapat tidur mesin taip bunyi bising. Cg pun pindahlah, menaip di ruang tamu asrama pula. Masalah lain timbul, ruang tamu itu berdekatan dengan dua-tiga bilik yang lain, bising juga. Memang banyak dosanya mesin mesin taip bunyi bising. Cg pun pindahlah, menaip di ruang tamu asrama pula. Masalah lain timbul, ruang tamu itu berdekatan dengan dua-tiga bilik yang lain, bising juga. Memang banyak dosanya mesin taip itu. Cg gagahkan juga menaip Pia. Bukan mudah menyudahkannya, maklumlah kita bukan 'underdog' lagi, sudah dua kali menang Hadiah Sastera. Ala-ala macam Datul Lee Chong Wei itulah. Waktu itu cg memang 'terputus' hubungan minda dengan kawan-kawan. Kawan-kawan ajak keluar 'minum air kotak' cg tolak, alasannya hendak siapkan Pia. Sehinggalah penghujung semester akhir, Pia siap. Cg pun ajak kawan-kawan keluar, hendak meraikan kejayaan siapkan Pia. Malangnya kawan-kawan semua tidak mahu ikut. Rupanya sudah begitu lama mereka merajuk. Pia, asal tajuknya ialah Tali Dunia. Judul yang memang tidak komersial langsung, memang kalau 10 orang tengok, 11 orang sudah tentu tidak beli termasuk seorang budak kecil anak daripada yang sepuluh orang tadi. Entah mengapa Tali Dunia itu cg perap bertahun-tahun. Waktu itu cg bergelumang dengan masalah peribadi yang sangat menyakitkan. Hinggalah pada tahun 1997, terbuka hati untuk menghantarnya ke sayembara, dan sejarah selepas itu adalah seperti yang terukir, seadanya. Tali Dunia diterbitkan dengan judul komersial, Pia.

6. Wang kemenangan Pia itu cg lekatkan dengan membayar wang pendahuluan rumah yang cg diami sekarang, juga wang pendahuluan kereta pertama cg, Kancil. Rumah masih utuh untuk didiami dan dikenang, tetapi Kancil sudah tiada lagi. Biasalah kita manusia, tamak. Bab-bab kenderaan ini kalau boleh kita mahu beli yang lebih besar daripada bas. Walhal Kancil itu dosanya cuma ia kecil, itu saja. Demikianlah betapa panjangnya sejarah kelahiran Pia itu. Bagaimana datang ilham yang sebegitu? Oh itu anak-anak usahlah tanya, ia anugerah Tuhan. Menulis ini, selain kegigihan, ia juga adalah anugerah. Secara tiba-tiba saja ia datang, alhamdulillah. Segalanya berkaitan dengan ilusi, yang dikembangkan oleh sedikit fakta dan latarnya datang dari tempat-tempat yang pernah kita diami. Eksploitasi semuanya. Kalau perlu boleh dapatkan bantuan dari peta. Maka tamatlah cerita kelahiran Pia. Oh ya, penting juga untuk diberitahu, Pia dapat disudahkan hampir serentak dengan tamatnya pengajian cg di UiTM, dan cg mendapat 'pointer' 3.21 keseluruhan sebaik tamat pengajian. Masih tersenarai dalam 'Dean's List'universiti. Tepatnya, ia tidak sedikitpun mengganggu tanggungjawab kuliah cg. Asasnya sudah tentulah kebijaksanaan kita membahagikan masa. Ingat itu, ya?

7. Mari kita masuk pula bab-bab kelahiran Melunas Rindu, teks anak-anak. Ceritanya sudah tentulah semakin kurang menarik, kerana waktu menggarapnya, cg sudah lama menjadi guru. Dalam kata lain, sudah kukuh ekonomi, sudah lebih daripada mampu membeli Rindu, teks anak-anak. Ceritanya sudah tentulah semakin kurang menarik, kerana waktu menggarapnya, cg sudah lama menjadi guru. Dalam kata lain, sudah kukuh ekonomi, sudah lebih daripada mampu membeli komputer. Hilanglah getar mesin taip biru cg. masih elok dalam simpanan cg dan menjadi antara barang kesayangan cg. Melunas Rindu (MR - mohon izin) hanya mula digarap setelag cg tahu Pia menang tempat pertama Hadiah Sastera. Itulah waktu terbaik dalam sejarah penulisan cg. Kita penulis ini anak-anak, ada waktu puncaknya. Khadijah Hashim dengan Badai Semalam, Pak Samad Said dengan Salina, Abdul Talib Hassan dengan SAGA(sekadar menulis beberapa nama besar) Novel mereka yang lain, pun bagus-bagus, tetapi ia tidak sebagus yang cg tuliskan tadi. Begitulah tanggapan cg terhadap MR. Maafkan cg jika tanggapan cg ini salah, kerana bukan hak cg untuk menilai buku cg sendiri. Sekali lagi usah ditanya bagaimana cg boleh menulis MR itu, sama saja jawapannya. Semuanya datang begitu-begitu saja,dibantu oleh kudrat yang masih kuat, maklumlah usia 20an waktu itu. Waktu menulis cg ialah di waktu malam, tepatnya tengah malam. Teman setia cg ialah bergelas-gelas besar Nescafe(mungkin laris dibantu oleh kudrat yang masih kuat, maklumlah usia 20an waktu itu. Waktu menulis cg ialah di waktu malam, tepatnya tengah malam. Teman setia cg ialah bergelas-gelas besar Nescafe(mungkin laris Nescafe selepas ini), dan cg boleh menulis hingga jam 4 pagi, kemudian tidur, bangun jam 6, urus diri, dan ke sekolah mengajar seperti biasa. Tengah hari pulang ke rumah, urus diri, kemudian biasanya jam 3 petang mula edit kerja malam tadi. Begitulah rutinnya hingga MR dapat disiapkan dalam masa 4 bulan sahaja. Ia bermula Julai 1998, sebaik tahu Pia menang, siap sebelum 30 November tahun yang sama iaitu tarikh tutup penyertaan. Dan sejarah selepas itu, adalah sebagaimana yang terukir, juga seadanya. Alhamdulillah. Benar-benar ia waktu terbaik cg. Cg menjadi penulis pertama menang Hadiah Sastera Utusan Public Bank (wanita) sebanyak 2 kali berturut-turut.

8. Sebelum itu Sdr Halis Azhan Mohd Hanafiah (novelnya Azea hanani juga terpilih sebagai teks) menang 2 kali berturut-turut. Walaubagaimanapun rekod cg sudah dipecahkan oleh Sdr Sri Rahayu Mohd Yusof(maaf kalau tersalah eja nama) yang sudah menang 3 kali Hadiah Sastera Utusan, cuma tidak pasti berturutkah ketiganya. yang pasti berturut dua kali, pecahlah rekod cg itu. Tidak mengapa, malah cg sangat bangga. Beliau juga seorang guru, mengajar di Selangor. Cg belum pernah berjumpa dengannya, cuma melihat wajahnya di akhbar. Manis sungguh orangnya. Harap beliau juga baca blog, dan kalau terjumpa blog cg Razak ini, apa kata 'join the club'. Pastinya semakin tidak berasaplah dapur kita, dan semakin termenunglah suami kita. Makan kedai.. isteri sibuk layan blog.

9. Berbalik kepada MR, demikianlah sejarahnya hingga akhirnya ia diangkat sebagai teks sastera tingkatan 4. Cg gembira kerana dengan begitu jalan hidupnya, ia dapat dibaca oleh ramai orang, apatah lagi yang membacanya adalah golongan remaja. Mudah-mudahan ada sedikit jasa cg melalui novel itu, selain memberi markah kepada anak-anak dalam peperiksaan. Renungkanlah isinya,bagaimana kuatnya watak Fuad itu. Usahlah sesekali beranggapan Islam yang lahir dari kesedaran itu lebih baik dari orang yang lahirnya Islam, tetapi renungkanlah di mana kita..sudah cukup beruntungkah kita hanya kerana lahir Islam, dan memadaikah sudah tanggungjawab kita selama ini. Usah sesekali juga menjadi ekstremis, justeru sebagaimana yang selalu kita dengar, kesederhanaan adalah anjuran : agama. Apa agama sekalipun di dunia ini, semuanya menganjurkan kebaikan dan kesederhanaan. Sebelum berundur cg ingin betulkan sedikit ulasan cg mengenai novel penulis-penulis tersohor tadi. Ayat cg memang semua novel mereka bagus-bagus, tetapi tidak sebagus novel yang disebutkan tadi'.Cg ingin betulkan, ayat cg sepatutnya berbunyi begini, 'novel mereka semuanya bagus-bagus, tetapi yang terbagus ialah yang disebutkan tadi. Harap ambil perhatian ya, dua ayat itu, konotasinya sangat berbeza, dan cg tidak mahu mengguris hati orang, waima secara tidak sengaja. Maaf seribu maaf. Rasanya cukuplah dulu untuk kali ini. Nanti lain kali cg akan menulis mengalaman menulis Merentas kabur pula. Sudah tentulah tidak ada apa lagi yang seronoknya, justeru waktu menulis novel itu cg sudah lama menjadi guru, sikit banyak sudah berada di zon selesa. Walaubagaimanapun, ia tetap menarik terutama apabila nanti cg ceritakan komen kawan-kawan penulis cg mengenainya.

10. Sebelum catatn berakhir cg ingin sedikit tulis cerita peribadi. Pada tahun 1994, cg dianugerahkan Allah seorang anak perempuan, dan tanpa berlengah lagi cg menamakannya Fatin Nabila bersempena judul novel pertama cg. Kini sudah enam belas tahun usianya, Tingkatan Empat, menuntut di Sek Men Seri Bera. Alhamdulillah cg dianugerahkan seorang anak yang sangat taat, dan doa cg semoga berpanjanganlah ketaatannya pada ibunya hingga nanti sampai masa dia mengalih ketaatan pada jodoh ketentuannya, mudah-mudahan.

11. Cg juga ingin minta maaf kerana banyak juga kesilapan menaip dalam coretan cg ini, maklumlah, terus tulis saja apa yang keluar dari kepala. Ada juga coretan yang tidak te'hantar', dan ada juga yang 'terhantar dua tiga kali. Tidak tahulah mengapa. Harap anak-anak boleh faham kesemuanya. Tidak mengapa, nanti cikgu Razak boleh edit bagi pihak cg. Terima kasih cikgu Razak. Sampai ketemu lagi anak-anak. Jaga diri. Assalamualaikum.

Ulasan Cikgu Razak -
Satu penceritaan pengalaman yang jujur dan patut menjadi contoh kepada pelajar terutama yang berminat untuk menjadi novelis suatu hari nanti. Terima kasih atas kesudian untuk berkongsi pengalaman.

2 ulasan:

myself berkata...

Assalamualaikum,
Saya cuma seorang guru sandaran, namun niat di hati, Insya Allah saya akan gapai cita-cita menjadi seorang guru Bahasa Melayu yang bertauliah hendaknya.
Tentang novel Melunas Rindu...
Jika dulu, saya rasakan novel Seteguh Karang novel yang terbaik, tiada tandingan, kini saya rasakan novel inilah yang terbaik, sangat padat unsur moral dan pengajarannya, hingga mampu menarik minat pelajar-pelajar berbangsa Cina untuk menikmati jalan cerita dan menikmati keindahan di sebalik penderitaan watak utama.

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum kak tini,
saya pernah tinggal sebumbung semasa di uitm. bilik bertentangan dengan kak tini..bilik kita hujung sekali memang pemandangan menarik tepi laut.. meminati novel kak tini, pernah membeli "merentas kabus"..tapi entah siapa yang meminjam novel lesap dalam simpanan. seingat saya kak tini seorang yang baik hati semasa diutim dulu. doa saya semoga kak tini berjaya menghasilkan lebih banyak novel lagi dan sentiasa diberikan ilham untuk menulis. Memang teringat masa dulu2 kak tini menaip menggunakan mesin taip tengah2 malam.. tapi untuk pengetahuan saya bukanlah antara rakan2 sebelah bilik yang menghempas buku tu ya..selamat maju jaya kak tini