BAB 3

Sabtu, 27 Februari 2010



SINOPSIS.

1. Fuad membeli setengah ekar tanah milik Awang Sojar dengan harga RM 10,000. Pak Ismail dinamai sebagai pemilik tanah itu walaupun dibantah oleh Pak Ismail. Setelah pemilikan tanah diperoleh, mereka membuat pagar, memerun dan membuat batas untuk ditanam dengan jagung.

2. Fuad juga membelikan Pak Mail sebuah motosikal kerana kasihan melihat Pak Mail yang terpaksa berjalan kaki untuk pergi ke kedai Leong.

3. Tindakan Fuad yang bersungguh-sungguh untuk memenangi semula hati Pak Mail dan Mak Salmah akhirnya membuahkan hasil. Mak Salmah akhirnya memaafkan segala kesalahan Fuad walaupun dia masih tidak dapat melupakan Sofia. Mak Salmah terlantar sakit di hospital hampir sebulan lamanya apabila menyedari kehilangan Sofia. Berita kematian Sofia menambahkan lagi bebanan jiwanya sehingga menyebabkan Pak Mail membawanya pulang semula ke rumah mereka. Akhirnya Mak Salmah menerima hakikat takdir bahawa Sofia yang telah meninggal dunia tidak akan hidup kembali.

4. Ketika berada di kebun, mereka sekeluarga sekali lagi didatangi oleh seorang lelaki. Mak Salmah dapat mengenali bahawa lelaki tersebutlah yang datang mencari Pak Mail dan Fuad tempoh hari.

5. Cikgu Abas datang bertemu dengan Pak Mail dan Fuad kerana berhajat untuk meminta bantuan Fuad untuk menjadi tenaga pengajar dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia. Cikgu Abas memberi pilihan kepada Fuad sama ada ingin menjadi guru sandaran atau mengajar kelas bimbingan pada sebelah petang.

6. Fuad berasa bahawa dia mempunyai pengetahuan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris tetapi tidak tahu untuk mengajar mata pelajaran tersebut. Cikgu Abas bagaimanapun menaruh keyakinan bahawa kemahiran mengajar akan diperoleh oleh Fuad selepas dia mula mengajar mata pelajaran tersebut. Cikgu Abas sangat berharap kepada pertolongan Fuad kerana menyedari pelajar-pelajar di sekolahnya memang lemah dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik. Menyedari bahawa mereka berada dalam keadaan kritikal, pihak sekolah telah memulakan kelas bimbingan pada bulan Januari.

7. Menurut Cikgu Abas, jika Fuad mengajar di kelas bimbingan, dia akan diberi elaun yang sepadan dengan kelulusan yang dimilikinya. Namun demikian, secara jujur Cikgu Abas menyatakan bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi kaya semata-mata dengan hanya menjadi cikgu.

8. Fuad menyatakan bahawa dia perlu berbincang tentang hal tersebut dengan Pak Mail dan Mak Salmah. Namun demikian, semangatnya untuk menjadi cikgu telah mula bercambah dan bersemarak.

9. Cikgu Abas berasa bahawa dia yakin Fuad akan menerima tawaran sebagai guru sandaran atau tenaga pengajar kelas bimbingan di sekolahnya. Dia amat optimis bahawa kehadiran Fuad akan membawa banyak perubahan positif dalam aspek akademik di sekolahnya. Dia menganggap bahawa Fuad umpama permata yang perlu digilap agar lebih bersinar.

WATAK DALAM BAB 3
1. MAK SALMAH
2. pAK ISMAIL/ MAIL
3. AWANG SOJAR/ AWANG BIN JUSOH
4. LEONG
5. SOFIA
6. CIKGU ABAS

NILAI KEMANUSIAAN DALAM BAB 3

1. Baik hati
2. Jujur
3. Bijaksana
4. Yakin diri
5. Mesra
6. Berani
7. Bertanggungjawab
8. Tegas
9. Bersih
10. Tabah
11. Sabar
12. Sopan

1. BAIK HATI.
Fuad bersifat baik hati. Dia membeli setengah ekar tanah berharga RM 10,000 daripada Awang Sojar dan nama Pak Mail didaftarkan sebagai pemilik tanah yang baru.

2. JUJUR
Pak Mail bersifat jujur. Walaupun makan di luar, dia tetap menunjukkan kejujuran bahawa dia menyukai masakan isterinya Mak Limah. Setelah makan di luar, Pak Mail tetap menyelongkar dapur untuk merasai masakan isterinya.

3. BIJAKSANA
Fuad bersifat bijaksana. Dengan wang yang diperoleh daripada bapanya, dia membuat pelaburan dengan cara membeli tanah Awang Sojar untuk dijadikan kebun bagi menanam jagung. Di samping memperoleh hasil yang baik kerana harga jagung sedang tinggi, mereka dapat mengeluarkan peluh dengan berbakti kepada tanah tersebut.

4. YAKIN DIRI.
Fuad seorang yang yakin diri. Walaupun khuatir dengan pengalaman yang hampir kosong, dia yakin bahawa dia mampu mencurahkan ilmu pengetahuan yang diperolehnya untuk mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Seri Setia.

5. MESRA
Pak Mail dan Mak Salmah bersifat mesra. Mereka bersifat mesra menyambut kedatangan Cikgu Abas walapun mereka tidak mengenali Cikgu Abas.

6. BERANI.
Cikgu Abas bersifat berani. Dia berani berjumpa sendiri dengan Pak Mail dan Fuad untuk menyampaikan hajatnya agar Fuad menerima tawaran menjadi guru sandaran di sekolahnya. Dia juga berani mempelawa Fuad menjadi tenaga pengajar di sekolahnya walaupun sedar bahawa Fuad tidak berpengalaman mengajar.

Pelajar boleh mencari contoh yang sesuai untuk nilai kemanusiaan 7 hingga 12.

SISIPAN TATABAHASA.

AYAT MAJMUK GABUNGAN.
Ayat majmuk gabungan ialah ayat yang terdiri daripada dua ayat atau lebih yang dijadikan satu dengan cara menggabungkan atau mencantumkan ayat-ayat tersebut dengan kata hubung seperti dan,atau,tetapi,lalu, sambil, serta, lagi

AYAT MAJMUK GABUNGAN DALAM BAB 3.
1. Pujukan Pak Ismail, Fuad dan rakan-rakannya juga banyak membantu.
2. Mak Salmah mula mengingati Allah serta qadak dan kadarNya.
3. Jauh di dasar hati, semangatnya sudah mula bercambah dan kian bersemarak.
4. Dia ingin merapati sebelum disedar dan disekat oleh pertimbangannya sendiri.
5. Di situ dia meneguk air kosong sambil mencuri-curi pandang.
6. Dilihatnya Pak Ismail dan Fuad telah menyedari kehadiran lelaki muda itu.
7. Salamnya dibalas serentak oleh Pak Ismail dan Fuad.
8. Dia cuma mengangguk-angguk sambil tersenyum.
9. Jujur dalam erti kata membuat tawaran dan meminta pertolongan.
10. Abas tahu kata-katanya keterlaluan, tetapi dia betul-betul jujur.

Pelajar boleh mencari lebih banyak contoh dalam bab 3 ini. Harus diingat pelajar harus dapat membezakan antara ayat majmuk gabungan dengan ayat majmuk pancangan dan ayat komplemen.

0 ulasan: